Khamis, 3 September 2020

Mengapa perlu jadi Homebaker?

 Home baker dalam Bahasa Malaysia maksudnya tukang roti di rumah. Tapi home baker yang saya istilahkan bermaksud peniaga yang menjual hasil bakeri dari rumah tidak kira roti, kek, biskut, kuih muih mahupun kerepek atau apa jua juadah makanan yang dihasilkan dari dapur rumah anda. Sama seperti anda, saya juga tercari-cari panduan memulakan bisnes kek dengan modal yang kecil dan berisiko rendah semasa saya pertama kali memulakan bisnes home baker pada tahun 2015. Bekerja sendiri bukanlah sesuatu yang mudah dan tidak cukup hanya dengan minat dan hobi semata-mata, kerana disamping itu kita juga mahu menyara diri sendiri dan keluarga melalui hasil bakeri ini. Selain membina jenama sendiri, kita juga mesti konsisten dengan hasil bakeri yang dibuat. Saya akan kongsi langkah-langkah memulakan bisnes bakeri dari rumah serta kesalahan-kesalahan yang biasa home baker lakukan. Semoga anda mendapat manfaat dan boleh mempraktikkan tips dalam catatan ini.

Cake cake cakey

Situasi masalah pengangguran terkini seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian pada Julai 2019, kadar pengangguran di Malaysia telah meningkat iaitu seramai 516,600 orang yang sebahagian besarnya merupakan lulusan ijazah dan diploma! Lebih membimbangkan lagi pelajar harapan keluarga yang berasal dari keluarga B40 (berpendapatan RM4,850 ke bawah sebulan) dan keluarga miskin yang telah berjaya mendapat kelulusan ijazah inilah paling ramai menganggur. Berita Harian juga melaporkan tanpa pendidikan tinggi, mereka lebih mudah mendapat kerja (Tarikh berita: 7 Julai 2019). Selain daripada kadar pendapatan yang rendah tidak menepati kelayakan yang ada, menyukarkan lagi keadaan mereka untuk menampung kos sara hidup yang tinggi, hutang pendidikan dan juga untuk membantu keluarga di kampung. Lebih parah lagi, pada Oktober 2019 Astro Awani pula melaporkan sejumlah 24,600 pekerja telah diberhentikan sejak awal tahun! Pelajar-pelajar ini dibebaskan (bergraduasi) setelah beberapa tahun memerah keringat demi mendapatkan segulung ijazah, dalam hutang yang mesti dilunaskan dan dipersoalkan kebolehpasaran diri mereka serta diberikan kadar gaji yang tidak setimpal dengan kelayakan. Ditambah lagi dengan pekerja-pekerja yang diberhentikan kerana khidmat mereka tidak diperlukan lagi bahkan dengan alasan dana yang kurang untuk membayar gaji sedang di rumah, isteri dan anak-anak mesti diberikan nafkah dan keperluan-keperluan hakiki tetap wajib ditunaikan.

Situasi terkini di Malaysia seperti yang kita semua tahu iaitu masalah Covid-19 yang bukan hanya menyebabkan kehilangan banyak nyawa tetapi juga pekerjaan. Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) meramalkan seramai 100,000 rakyat bakal kehilangan pekerjaan sehingga hujung tahun 2020 kesan daripada virus ini yang menyebabkan kegawatan ekonomi. Banyak sektor industri yang terkesan daripada sekecil-kecil perniagaan hingga syarikat gergasi akan dan sedang mengalami kejatuhan serta kerugian mendadak. Bagaimana pula mereka yang sudah sedia menganggur atau yang baru sahaja menghabis pengajian mereka di peringkat universiti? Adakah lagi peluang pekerjaan buat mereka sedang rakyat yang bekerja dibuang kerja begitu sahaja? Walaupun kita semua berharap kegawatan ekonomi ini pulih, ia tetap memakan masa yang agak panjang untuk kembali membaik. Banyak pihak berpesan supaya menyimpan wang dalam tempoh krisis kegawatan ini selagi mampu kerana satu dunia mengalaminya bukan hanya di Malaysia, bukan hanya di Asia Tenggara malah seluruh dunia. Dalam krisis ini sama seperti krisis kegawatan tahun 2008 – 2009 dulu ada ramai yang bankrup, ramai juga yang menjadi jutawan kerana akan ada banyak peluang untuk kita. Bezanya adalah ilmu dan sikap (atitud) yang mendorong kita untuk mengubah nasib.

Jawapan untuk keadaan getir ini pada pandangan peribadi penulis adalah dengan membina kerjaya sendiri bermula dari rumah walaupun pada skala yang kecil. Sebagai rakyat marhaen mampukah anda memaksa peluang pekerjaan dibuka lebih banyak ataupun meminta majikan menaikkan gaji yang pada asalnya sudah sangat rendah tidak menepati kelayakan yang ada? Adakah anda hanya perlu menunggu dan terus berharap sedang anda masih ada tanggungjawab untuk menyara keluarga? Berapa lama lagikah anda mesti mencari kerja yang setimpal dengan gaji? Walaupun mustahil untuk anda mengubah seluruh Malaysia, tapi anda berkuasa mengubah nasib diri anda! Jadi mengapa home baker? Tiba masanya anda buktikan bahawa dengan kemahiran dan keberanian membuat keputusan untuk menjalankan bisnes bakeri dari rumah, anda boleh berjaya seperti orang makan gaji malah lebih lagi. Abaikan kritikan yang mengatakan ianya satu kerugian kerana anda tidak bekerja dalam bidang dan kelulusan anda. Bukan itu sahaja, kerjaya sebagai home baker ini merupakan bidang yang menyeronokkan dan yang pastinya mampu mendapat hasil yang lumayan jika melakukannya dengan cara yang betul.


sumber: Berita Harian

Pertama sekali, home baking hanya memerlukan modal yang kecil dan mampu menjana keuntungan yang besar. Anda tidak perlu membuat pinjaman perniagaan untuk memulakan bisnes dari rumah. Setiap perniagaan mesti mempunyai modal permulaan tak kira dalam entiti bagaimana sekalipun perniagaan tersebut. Modal bisnes home baking dari rumah tidaklah sebesar modal membuka kedai. Untuk mula membuka kedai, modal yang besar diperlukan dan kebanyakan peniaga akan membuat pinjaman bank diawal permulaan perniagaan. Walaupun banyak kita dapat lihat, café, bakeri, café butik atau rangkaian café bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, ianya amat mencabar untuk bertahan kerana persaingan yang sengit, perkhidmatan pelanggan yang kurang memuaskan dan akhirnya gulung tikar tanpa sempat membayar hutang perniagaan. Tidak seperti home baking, modal yang kecil kurang membebankan walaupun mengambil masa untuk terus beroperasi atau naik taraf seperti menambah pekerja atau membuka lebih banyak tempahan untuk pelanggan. Namun, menurut pengalaman penulis tempoh naik taraf yang mengambil masa lebih panjang boleh membantu home baker untuk memahami sikap dan citarasa pelanggan serta pola pasaran hasil bakeri di kawasan sekitar berbanding pertumbuhan yang cepat tanpa mengutamakan maklum balas pelanggan.

Risiko kerugian juga dapat dikurangkan kerana pada permulaan bisnes anda tidak perlu menyewa kedai, membeli peralatan bakeri mahupun menggaji pekerja. Risiko kerugian ini juga boleh dikurangkan dengan beberapa tips rahsia yang akan dikongsikan nanti. Home baker tidak perlu menunggu pelanggan datang ke kedai, tetapi pelangganlah yang akan mencari anda terlebih dahulu. Bukan sahaja ianya menjimatkan kos sewa kedai, tetapi sekiranya berlaku situasi di mana anda tidak boleh membuka kedai seperti musim wabak Covid-19, home baker adalah antara perniagaan paling minimum kerugian yang dirasa. Anda hanya perlu menggunakan teknik pemasaran yang betul supaya walaupun anda berkurung dalam rumah, pelanggan tahu anda sedang menjalankan perniagaan. Teknik pemasaran yang percuma pada masa kini lebih menguntungkan anda dengan menggunakan media sosial sebagai platform untuk mengiklankan hasil bakeri anda malah ianya tidak memerlukan kos yang besar. Anda boleh memaksimumkan media sosial untuk mengiklankan bisnes bakeri menggunakan teknik-teknik tertentu untuk memastikan iklan anda dapat dilihat oleh bakal pelanggan. Dalam erti kata yang lain, kerugian perniagaan bakeri dari rumah ini boleh di kawal dan diminimumkan terutama sekali jika anda tiada langsung pengalaman dalam bidang kusahawanan ataupun masih kurang kemahiran dalam bidang roti dan kek. Sudah pasti impian setiap home baker adalah untuk membuka bakeri atau café sendiri kelak. Oleh itu, bakeri dari rumah ini dijadikan sebagai batu loncatan untuk memulakan perniagaan, mempelajari selok belok keusahawanan dan mengumpul sebanyak mungkin ilmu dan kemahiran sebagai pembuat kek.

Sumber: Bobo-Grid.ID

Selain itu, berbekalkan disiplin dan semangat anda boleh menyusun waktu kerja anda. Waktu kerja yang fleksibel ini membolehkan anda lakukannya secara sampingan. Berbanding dengan anda makan gaji di sektor swasta dengan waktu kerja tertentu, home baking boleh dilakukan secara part-time atau sepenuh masa. Ramai home baker yang bermula dengan mengambil tempahan secara sampingan atau pun ketika mempunyai masa sama ada kerana kekangan pekerjaan utama atau pun ada tanggungjawab lain yang perlu digalas. Sebagai contoh, ada pembuat karipap sejuk beku dari rumah hanya membuat hasil produknya pada tiga hari bekerja sahaja dengan memastikan jumlah pengeluaran sepanjang tiga hari itu mencukupi mengikut permintaan pelanggan. Dalam hal ini, pemilik dan juga pekerja tidak perlu meninggalkan pekerjaan utama mereka tanpa mengurangkan  penghasilan produk sejuk beku tersebut. Tidak seperti bekerja waktu pejabat walaupun anda terasa penat atau tidak sihat, kerja mesti disiapkan kerana ianya sudah menjadi tugas hakiki anda berlainan dengan home baker yang hanya mendapat bayaran hasil apabila kek sampai pada tangan pelanggan.

Berapa kali setahun anda membeli baju, beg atau kasut baru? Ataupun berapa kalikah dalam sebulan anda membeli alat solek mahupun produk skincare? Baju, kasut atau beg paling kurang satu kali setahun, dan alat solek pula mungkin sekali sebulan. Berapa kerap pula anda membeli aksesori-aksesori atau gajet? Mungkin apabila sampai masa perlu diganti sahaja. Namun begitu, bagaimana pula dengan makanan? Sudah tentu setiap hari! Pasaran yang sangat luas dan permintaan yang tinggi ini merupakan sebab utama mengapa home baking adalah bisnes yang lumayan. Permintaan ini akan meningkat berkali ganda apabila tiba musim tertentu iaitu musim-musim perayaan, perkahwinan dan cuti sekolah. Tambahan lagi, pelanggan lebih memilih home baker yang menyediakan perkhidmatan COD (charge on delivery) berbanding kedai-kedai bakeri yang tiada perkhidmatan tersebut. Oleh itu, jangan risau hasil bakeri anda tidak laku atau tiada pembeli. Kalau pembeli berpuas hati dan sudah percaya, mereka pasti datang lagi kepada anda untuk tempahan kek. Apa sahaja produk makanan mempunyai peluang untuk mendapat pelanggan kerana ia merupakan perkara asas manusia untuk hidup. Hampir setiap majlis pasti mempunyai hidangan kek, biskut atau pencuci mulut yang lain. Boleh dikatakan hidangan kek merupakan satu keperluan untuk setiap majlis pada masa kini malah dijadikan trend oleh kebanyakan artis dan selebriti tanah air. Biskut juga boleh dikatakan menjadi makanan penting untuk setiap perayaan atau mana-mana rumah terbuka sama ada untuk hidangan pencuci mulut atau doorgift Siapa lagi kalau bukan anda sebagai home baker untuk memenuhi permintaan pasaran untuk penghasilan kek dan biskut?

Oleh itu, tiada lagi alasan untuk tidak menjadikan bisnes bakeri dari rumah sebagai satu pekerjaan. Bisnes bakeri tidak semestinya kek dan biskut sahaja tetapi jika anda lebih berminat dengan hasil roti, anda boleh menghasilkan produk tersebut hanya dari rumah sahaja. Anda juga tidak perlu berpagian keluar rumah untuk ke tempat kerja menghadap kesesakan lalu lintas setiap hari atau pun apabila waktu pulang dari tempat kerja. Kos petrol dapat dijimatkan kerana anda hanya bekerja dari rumah. Sikap paling utama dalam menjalankan perkerjaan sendiri ialah disiplin dan motivasi dalam diri untuk selalu komited dengan tugas sebagai home baker. Walaupun tiada bos yang akan memarahi anda kerana prestasi kerja yang tidak berkualiti, tetapi pelanggan merupakan agen pemangkin untuk berterusan menghasilkan kek yang berkualiti dan sedap. Bukan hanya bisnes bakeri sahaja yang boleh dibuat dari rumah tetapi sekiranya anda mahu memulakan apa jua bisnes makanan seperti hasil produk sejuk beku (kambing perap, karipap pusing frozen dan sebagainya) dan juga pelbagai produk homemade dan handmade yang lain.

Sekian perkongsian untuk catatan kali ini. Nantikan lebih lagi perkongsian tentang bisnes dari rumah pada masa akan datang.

2 ulasan:

Terima kasih atas ulasan/komen. Tunggu saya balas sebarang pertanyaan ya.

Penafian:
Sebarang artikel, perkongsian atau gambar dalam blog ini adalah hak milik tangangebu27 melainkan dinyatakan sumbernya. Semua pendirian serta perkongsian dalam semua post adalah menurut fahaman atau pandangan peribadi penulis blog shaja dan ia tidak mewakili mana-mana pihak baik Kerajaan, Swasta mahupun Persatuan-persatuan NGO.
Pandangan peribadi pemilik blog boleh berubah dari masa ke semasa seiring meningkat dan bertambahnya ilmu.
Sebarang bentuk peniruan (copy and paste) dalam apa jua bentuk daripada blog ini adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Terima kasih.