Diwaktu
permulaan bisnes bakeri penulis bertapak, amat sukar untuk mendapat pelanggan
secara online kerana pada waktu itu bisnes online masih baru dan tidak begitu
meluas. Cara penulis lakukan ialah dengan membuka booth di karnival atau mana-mana acara umum untuk memberitahu
bahawa syarikat sudah bertapak. Sehinggalah penulis menggunakan Facebook untuk
mengiklankan servis tempahan kek dan biskut dan pada awalnya mendapat respon
memberansangkan terutama sekali daripada kenalan terdekat. Namun, penulis tidak
tahu teknik atau cara untuk memanfaatkan media sosial untuk melariskan jualan
atau untuk lebih dikenali pelanggan. Walaupun selalu mengemas kini status di
facebook mengiklankan perkhidmatan tempahan kek, respon juga semakin hambar
kerana jaringan kenalan adalah orang yang sama dan tidak bertambah. Akhirnya
buntu untuk mengemas kini status kerana semua gambar sudah dikongsi tetapi
pelanggan tidak bertambah. Hanya ketika ada pelanggan barulah dapat berkongsi
gambar kek atau status, jika tiada pelanggan maka akan senyap jugalah tanpa update. Beberapa persoalan perlu ada
untuk menentukan strategi pemasaran facebook; Adakah perlu menggunakan profile
peribadi untuk memuat naik status? Apakah status yang perlu dikongsi? Bagaimanakah
untuk tulis status dan berkongsi di facebook? Bilakah waktu yang sesuai untuk
memuat naik status?
Planning untuk terbitkan ebook |
Ramai yang
tertanya-tanya, bolehkah saya menggunakan akaun peribadi untuk dijadikan tempat
menarik pelanggan? Untuk jangka waktu pendek, boleh. Tapi untuk jangka masa
panjang adalah tidak sesuai kerana apabila menggunakan akaun peribadi anda
tidak akan terlepas daripada berkongsi pandangan peribadi baik dari hal
keluarga, berita semasa, ataupun hal ehwal politik dan ini akan membuatkan
bakal pelanggan anda keliru dengan servis anda. Selain itu, jumlah like juga tiada had untuk setiap page, sesiapa sahaja boleh menghantar
mesej dan anda boleh mengawal selia dengan lebih mudah mesej pertanyaan
daripada bakal pelanggan tanpa bercampur aduk dengan mesej peribadi dari
kenalan dan keluarga. Paling penting ialah untuk mengelakkan anda terlepas
pandang bakal pelanggan yang berminat dengan perkhidmatan anda. Cipta (create) page khas menggunakan jenama anda untuk memulakan promosi
perkhidmatan. Apa jua status berkenaan bisnes home baking mesti di muat
naik ke page syarikat dan share di
akaun personal anda. Page khas juga
memudahkan anda untuk setting facebook
ads dan juga menetapkan mesej balasan kepada bakal pelanggan secara
automatik sama ada untuk mengumumkan tarikh tempahan dibuka, senarai kek yang
ada atau membalas mesej sewaktu anda sedang bercuti.
Contoh instagram penulis |
Apakah isi kandungan status anda? Medium iklan biasanya memeningkan kepala kebanyakan pemilik bisnes online dan mencuba pelbagai teknik “trial and error”. Secara ringkasnya terdapat dua strategi untuk memuat naik status iaitu strategi imej dan strategi penulisan. Strategi imej amat berkesan jika kena dengan caranya. Ikuti langkah-langkah berikut; (1) Sertakan gambar; (2) Letakkan jenis atau nama kek berserta detail seperti warna, tema, perisa kek. Jika kek berlapis-lapis, terangkan lapisan dalam kek dengan jelas; (3) Jelaskan rasa kek tersebut. Masam manis strawberry atau rasa dark chocolate ganache daripada coklat import?; (4) Harga. Jangan berahsia dengan pelanggan. Jika harga berbeza mengikut cas dekorasi, jelaskan pada bakal pelanggan untuk hubungi anda; (5) Cara tempahan. Adakah ianya available setiap hari? Bolehkah beli satu slice sahaja? Berapa lama tempoh minimum untuk menempah kek?; dan (6) Berikan testimoni. Jangan malu bertanya pandangan pelanggan yang telah menempah kek dengan anda. Testimoni ini memberi kepercayaan kepada bakal pelanggan anda. Mereka ingin tahu apakah respon pelanggan terdahulu kepada anda. Respon pelanggan amat berkuasa sebagai pengaruh untuk mendapatkan bakal pelanggan yang berminat untuk mengambil servis anda.
Selain itu, waktu yang paling sesuai untuk anda kemas kini status atau berkongsi gambar dan tips adalah pada waktu rehat pejabat iaitu di antara jam 1.00 hingga 3.00 petang. Mengapa? Kerana statistik menunjukkan Facebook mengalami aliran trafik yang tinggi pada waktu tersebut bermaksud lebih ramai yang sedang online! Ini peluang untuk anda tarik pelanggan baru. Forbes juga melaporkan posting yang dimuat naik pada jam 7.00 malam juga mendapat lebih banyak klik atau dilihat (views). Tambahan lagi, pada hari Khamis dan Jumaat juga didapati Facebook mendapat lebih 18% engagement atau penglibatan pengguna berbanding hari-hari yang lain. Jangan lepaskan peluang ini untuk mengaplikasikan teknik marketing anda. Caranya mudah saja, sediakan beberapa posting terlebih dahulu pada permulaan hari atau sebelum tidur dan simpan sebagai draf. Jangan lupa set alarm untuk mengingatkan anda menyiarkan posting tersebut. Apakah teknik posting? Baca perenggan sebelumnya untuk jawapan.
Bagaimana
pula dengan Instagram? Sesetengah
orang lebih gemar menggunakan Instagram
berbanding facebook terutama golongan generasi Z dan milenium yang mempunyai
kuasa membeli yang agak tinggi kerana kelahiran ramai influencer. Instagram merupakan platform paling baru
berbanding facebook, twitter dan pinterest yang lebih awal bermula namun
mempunyai lebih 500 juta pengguna setiap hari. Komuniti pengguna Instagram inilah menjadi lubuk kepada
penjual produk tidak kira jenis produk baik pakaian, alat solek, perkhidmatan reka
bentuk dalaman, kereta bahkan juga rumah. Makanan juga menjadi produk laris
hasil perkongsian gambar daripada ramai orang terutama sekali artis dan
influencer. Untuk menggunakan Instagram
sebagai platform menarik lebih ramai pelanggan, anda mesti memastikan iklan
atau perkongsian gambar anda sampai kepada komuniti di kawasan sekitar anda.
Tiada gunanya anda menarik minat orang dari luar Malaysia kerana fokus
pelanggan anda adalah penduduk tempatan. Anda juga mesti mempunyai fokus
kumpulan umur, tidak terlalu muda kerana kuasa membeli kurang atau tidak
terlalu berusia kerana kebanyakan warga 50 tahun ke atas kurang menggunakan
platform ini. Anda mesti tahu cara menggunakan paltform ini untuk berinteraksi
dengan bakal pelanggan supaya ianya dapat membantu anda merancang strategi
pemasaran melalui Instagram dengan
lebih baik.
Menurut
Sprout Social yang melaporkan statistik pengguna Instagram menyatakan, Instagram
mempunyai lebih satu bilion pengguna aktif setiap bulan dan 64% darinya dalam
lingkungan umur 18 hingga 29 tahun diikuti 40% darinya berusia 30 hingga 49
tahun. Oleh itu, jika hasil kek anda memfokuskan kepada warga berusia 18 hingga
49 tahun, Instagram merupakan ruang
paling sesuai untuk anda. Selain itu, golongan dalam lingkungan usia 18 hingga
29 tahun juga lebih terpengaruh dengan trend dan tidak ketinggalan untuk
mengikutnya. Sprout social juga melaporkan lapan dalam 10 orang pengguna akan
mengikut (follow) profil bisnes di Instagram dan ini bermaksud jika profil
bisnes anda ada dalam Instagram dan
menyediakan perkhidmatan yang menarik seperti kek bertema, kemungkinan mereka
untuk mengikut anda lebih tinggi. Waktu paling ideal untuk memuat naik gambar
pula adalah setiap hari bekerja terutama sekali bermula jam 10 pagi hinggi 3 petang kerana aliran trafik
tinggi pada ketika ini dan kemungkinan mendapat ‘like’ lebih memberansangkan. Instagram
bukan sahaja membenarkan anda berkongsi gambar tetapi juga video pendek
berdurasi 60 saat. Status video didapati mendapat 38% lebih banyak penglibatan
(engagement) berbanding gambar dan
mendapat lebih dua kali ganda komen dari pengguna. Oleh itu, gunakan video
untuk menarik lebih ramai pelanggan dengan merakam hasil kek anda. Perkara
terakhir sekali ialah penggunaan hashtag ‘#’ juga boleh meningkatkan
penglibatan pengguna dan memudahkan mesej anda untuk sampai kepada pengguna.
Anda boleh kaji sendiri senarai hashtag yang popular di Instagram untuk menarik pelanggan.
Untuk artikel kali ini cukuplah beberapa tips dan teknik bagaimana nak manfaatkan media sosial untuk tingkatkan sales. Tidak kira apakah jenis produk yang anda jual sama ada dalam bentuk produk makanan, pakaian, gadget atau apa jua produk. Oh ya, facebook ads dan instagram ads yang berbayar juga sangat efektif untuk naikkan sales atau pun pengikut page anda. Tetapi kalau anda bermula dari bawah tanpa modal yang besar cukuplah anda ikut teknik-teknik di atas. Ingat sifir, Gambar, teknik mengayat (copywriting), teknik testimoni dan waktu status update.
TQ share🤗
BalasPadam