Sabtu, 4 Mei 2019

PUASA Amalan Purba sebelum Islam

Terasa macam baru sahaja puasa berlalu tahun lepas, eh! dah masuk bulan puasa lagi. Syukur sangat-sangat Allah masih bagi peluang untuk puasa tahun ni. Teringat dulu masa awal-awal Umi dan Baba didik aku untuk berpuasa. Kejut sahur, Umi masak sedap-sedap supaya anak beliau ni berselera masa sahur untuk tahun pertama puasa. Ada juga hari yang kecundang, biasalah! Tahun pertama puasa masa tu aku darjah satu. Sebelum tu aku tak ingat aku puasa ke tak. Masa tu puasa awal tahun. Dah la baru masuk sekolah (maklumlah tak pergi tadika), dah kena puasa tak silap masa tu bulan Februari. Perkara paling mencabar ialah ramai sangat kawan tak puasa siap bawak bekal memang tak kuat. Esoknya aku minta Umi siapkan bekal sebab tak puas hati kawan semua tak puasa minum air. Kalau korang perasan kebanyakan puasa jatuh pada bulan yang cuacanya panas terik. Lama-lama aku kuat hadapi ujian kawan-kawan yang tak puasa sebab bila balik rumah adik-beradik aku semua bangga bagitahu Umi yang diorang tak makan pun di sekolah. Tahan lapar demi puasa.
Semoga Puasa 2019 kali ini memberi penuh berkat dan rahmat untuk kita semua!
Perkongsian kali ini nak ceritakan sedikit pengetahuan aku tentang sejarah puasa. Tahu tak sebelum Islam, ibadah puasa ni dah lama wujud? Dalam surah al-Baqarah ayat 183 ada terangkan, "Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu puasa seperti mana diwajibkan ke atas mereka sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa." Sebelum perintah puasa kepada Nabi Muhammad SAW, ibadah ni dah jadi amalan umat-umat terdahulu tau.
Dulu-dulu, bulan puasa jatuh pada waktu panas juga, jadi Umat Nabi Musa AS dan Nabi Isa AS pindahkan puasa pada musim sejuk. Dalam tafsir Al-Qurtubi, umat Musa AS dan Isa AS berpuasa 30 hari tapi mereka menambah lagi 10 hari sebagai membayar nazar pendita yang telah sakit, jadilah puasa orang Nasrani 40 hari. Lepas tu, bila tukar puasa pada musim sejuk ada pendita lain bernazar untuk tambah lagi 10 hari puasa jika penyakit mulutnya sembuh, maka jadilah puasa meraka 50 hari.

Diriwayatkan daripada Imam Mujahid, Allah telah fardukan puasa pada setiap umat. Contohnya orang Arab Quraisy puasa pada Hari Asyura. Bila Nabi SAW berhijrah ke Madinah, orang Yahudi pun berpuasa pada Hari Asyura, maka nabi pun turut berpuasa dengan sahabat-sahabat lain. Pada akhir Sya'ban tahun kedua Hijrah, Allah turunkan perintah yang mewajibkan puasa dalam surah Al-Baqarah ayat 183 hingga 185. Fakta menarik, Rasulullah SAW berpuasa Ramadhan selama hidup baginda sebanyak sembilan(9) kali. Lapan (8) kali selama 29 hari, sekali sahaja puasa penuh 30 hari (ada juga riwayat menyatakan 2 kali puasa penuh 30 hari).

Bangsa Mesir yang menyembah berhala pun berpuasa begitu juga bangsa Yunani, Romawi, Nasrani dan orang Hindu. Mereka juga ada puasa tertentu sehingga kini. Menariknya, puasa mereka berlainan bentuknya. Kalau orang Islam puasa tanpa makan dan minum dari terbit fajar hingga terbenam matahari, Tapi, selain agama Islam ada yang berpuasa daripada makan daging, telur, ikan, susu dan sebagainya. Uniknya puasa setiap bangsakan?

Bagi puasa yang difardukan untuk umat Muhammad SAW, puasa bukan untuk memperingati sesuatu peristiwa atau berpantang daripada sesetengah makanan dan bukan pula kerana bernazar, tetapi telah disyariatkan untuk melatih kita umat Islam supaya bertaqwa kepadaNya. Dalam satu hadis Qudsi menyatakan, "Setiap amalan bani Adam itu adalah untuknya kecuali puasa, ia adalah untukKu dan Akulah yang akan membalasnya". Jadi, bulan Ramadhan ini bukan hanya untuk kita mengekang nafsu makan dan minum sahaja, malah kita kena faham hakikat Ramadan adalah untuk mengutip sebanyak-banyaknya pahala dan melatih diri kita untuk sentiasa dekatkan diri pada Allah.

Bulan Ramadan adalah bulan kesembilan dalam kalendar Hijriah yang bermaksud panas yang sangat terik. Sebab tu biasanya bulan puasa kita rasa lebih panas. Puasa adalah ibadah yang terhimpunnya pendidikan akal, jiwa, fizikal dan disiplin hidup. Dengan kita yang berkerja waktu siang hari menyatukan tempoh berpuasa, mengawal makan dan minum ditambah lagi dengan masa beribadah kepada Allah. Betul-betul menguji tahap kesabaran dan kecekalan kita menghadapi bulan puasa ini. Tambahan pula, disamping kita mengawal makan dan minum, ibadah puasa juga menyeru kita menjauhi perkara keji dengan menutup pintu kejahatan malah membuka seluas-luasnya pintu kebaikan dengan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.

Berpuasa bukan semata-mata bersifat kebendaan, contohnya untuk berpuasa untuk kuruskan badan. Namun, puasa ini adalah semata-mata kerana perintah Allah. Puasa mesti yakin dan ikhlas serta penuh kesedaran dan rasa tanggungjawab. Sememangnya puasa banyak memberi kebaikan pada aspek fizikal terutama dari segi kesihatan tubuh badan selain memberi ketenangan jiwa dan perasaan.

Sebab itulah selain kita tahan lapar dan dahaga, kita digalakkan menambah amalan kebaikan seperti baca Quran, solat Tarawikh, bersedekah, berzikir dan meminta ampun dari dosa-dosa. Ramadan ini Allah sediakan seolah-olah open house untuk kita kutip sebanyak-banyaknya kebaikan dan pahala untuk simpan dalam tabung pahala kita bawa ke akhirat nanti. Rugilah kalau kita lepaskan peluang yang datang sekali setahun sahaja. Betul tak? Paling istimewa sekali ialah malam Lailatur Qadar, malam yang lebih baik dari seribu bulan. Itulah kemuncak open house Allah sediakan pada bulan Mulia ini. 

Ramadan Kareem! 
Allahu Akram! 

Selamat Menjalani Ibadah Puasa untuk semua Pembaca TanganGebu27!

1 ulasan:

Terima kasih atas ulasan/komen. Tunggu saya balas sebarang pertanyaan ya.

Penafian:
Sebarang artikel, perkongsian atau gambar dalam blog ini adalah hak milik tangangebu27 melainkan dinyatakan sumbernya. Semua pendirian serta perkongsian dalam semua post adalah menurut fahaman atau pandangan peribadi penulis blog shaja dan ia tidak mewakili mana-mana pihak baik Kerajaan, Swasta mahupun Persatuan-persatuan NGO.
Pandangan peribadi pemilik blog boleh berubah dari masa ke semasa seiring meningkat dan bertambahnya ilmu.
Sebarang bentuk peniruan (copy and paste) dalam apa jua bentuk daripada blog ini adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Terima kasih.