Syukur dipanjatkan pada Rabbul Izzati kerana kita dah pun sampai hari ke-28 Ramadan 1442. Bagaimana situasi berpuasa korang dalam keadaan kes COVID yang meningkat dengan pengumuman baru yang tak dibenarkan balik kampung? Kes COVID pun nampak gaya tak reda-reda juga. Di Kelantan dah mula PKP dan ada beberapa kawasan yang memang total lockdown. Bermula 10 Mei 2021 ni juga peniaga-peniaga dan penjaja dah tak boleh berniaga langsung walaupun sekadar depan rumah. Perniagaan kecil memang akan dilumpuhkan terus demi mengawal penyebaran COVID-19 untuk beberapa hari. Dari sisi sebagai peniaga, rasa kasihan sangat-sangat dengan peniaga kecil yang hidup bergantung pada hasil jualan harian. Tapi ada yang lebih utama untuk dijaga iaitu nyawa, kita kena juga sama-sama sahut arahan kerajaan untuk putuskan rantaian COVID ni.
Syukur juga kerana saya dah pun divaksin dan lengkap dua dos vaksin. Kenalan-kenalan pelik kenapa saya cepat sangat dapat vaksin. Sebab utama saya dah dapat vaksin adalah, kerana pelajar pascasiswazah dan juga pada masa yang sama saya kerja sebagai Graduate Research Assistant di USM Kubang Kerian, Kelantan ni terdedah dengan risiko COVID sebab memang keluar masuk Hospital USM di Kampus USM ni dan keluar masuk Makmal Imunologi. Di Makmal inilah ujian SARI aka swab test diuji. Jadi sebab tulah saya dah dapat vaksin. Saya kira ramai juga antara ibu ayah kita, warga emas yang dah mula dapat dos pertama vaksin kan? Dos pertama saya dapat pada hari ketiga puasa, 15 April 2021 dan dos kedua baru 4 hari lepas. Alhamdulillah. Semuanya lancar kecuali kesan sampingan untuk dos kedua agak kuat.
|
Lepas dah complete dua vaksin nanti dapat e certificate ni dalam aplikasi mysejahtera |
Masa dapat dos pertama tu memang tiada langsung kesan sampingan melainkan lenguh-lenguh dan sakit tempat dicucuk. Dalam dua hari macam tu. Tapi bila dapat dos kedua, demam dua hari. Hari keempat ni pun masih lagi lenguh satu badan dan rasa letih. Terbantut kejap nak buat biskut raya. Tapi apa pun syukur sangat-sangat semuanya dipermudahkan dan cepat je prosesnya. Bila bercakap fasal vaksin ni, ramai juga yang tak setuju dengan vaksin sebab ada yang anti-vaksin ada juga yang cakap, dapat vaksin pun tetap boleh kena juga COVID. Kalau bagitahu saya, saya tiada komen untuk memaksa orang yang tak nak vaksin untuk vaksin sebab pilihan masing-masing. Tapi saya sendiri nak vaksin diri.
Isu-isu vaksin dengan hubung kait hal agama saya nak letak tepi, tapi saya faham natijah pada vaksin untuk bina herd immunity sama macam tujuan vaksin-vaksin lain yang kita ambil bermula dari kita lahir.
Tapi, untuk orang yang mengatakan vaksin ni seolah-olah melawan ketentuan Allah sebab semua manusia akan mati juga. Saya suka nak kongsi analogi ni.
Ingat tak kisah Nabi Ibrahim AS yang dibakar oleh Raja Namrud tapi tak hangus? Sememangnya Allah SWT dengan kuasa Maha Besar yang membantu Nabi Ibrahim daripada dibakar hidup-hidup. Tapi tahu tak semua binatang membantu untuk padamkan api yang besar tu kecuali cicak. Salah satu binatang yang bantu adalah burung. Dengan api yang tinggi menjulang nak bakar Nabi Ibrahim, korang rasa apalah sangat air yang dibawa dalam paruh burung untuk padamkan api. Tapi ciptaan-ciptaan Allah ni tetap nak bantu untuk padamkan api untuk selamatkan Nabi Ibrahim. Begitulah kita ni ibarat burung dalam kisah ni, membantu untuk melawan virus ni sama-sama dengan vaksin diri kita. Sekurang-kurangnya kalau kita terinfeksi, kesan COVID yang dirasa tak kritikal dan boleh selamatkan banyak nyawa lagi-lagi orang yang rendah antibodinya seperti pesakit kronik, kanser dan sebagainya. Burung yang bawa air tu tahu itu sahaja usaha dia boleh buat untuk selamatkan Nabi mengikut kemampuan dia. Sama macam kita jugak la. Memang semua orang akan mati walaupun bukan sebab COVID tapi kita dah menyumbang untuk capai herd immunity ni. Tu usaha yang kita mampu selain daripada jaga jarak, ikut SOP mengikut kapasiti kita. Tapi kalau kita kena jugak, nak buat macam mana sedangkan kita dah usaha. Pahala usaha kita tu hanya Allah yang nilai.
|
Situasi terkini 9 mei 2021 |
Kalau ada yang nak vaksin tapi belum daftar cepat-cepat daftar di MySejahtera sebab semuanya akan berurusan melalui MySejahtera. Panggilan untuk divaksin berserta tarikh pun akan diumumkan melalui Aplikasi tu. Sesekali boleh update app tersebut untuk tengok informasi baru.
Panjang pula nukilan hari ini. Niatnya nak cerita juga pengalaman viva Master saya baru-baru ini. InshaAllah semoga ada lain kesempatan saya nak bercerita pengalaman viva voce. Walaupun puasa ini banyak diuji dengan masalah gastrik dan masalah kesihatan lain, terlalu banyak perkara yang boleh saya syukuri dan antaranya adalah saya dah lulus Master Of Science (Medical Immunology). Alhamdulillah thumma Alhamdulillah. dan semuanya adalah dengan izin dan rahmat Allah. Sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas ulasan/komen. Tunggu saya balas sebarang pertanyaan ya.
Penafian:
Sebarang artikel, perkongsian atau gambar dalam blog ini adalah hak milik tangangebu27 melainkan dinyatakan sumbernya. Semua pendirian serta perkongsian dalam semua post adalah menurut fahaman atau pandangan peribadi penulis blog shaja dan ia tidak mewakili mana-mana pihak baik Kerajaan, Swasta mahupun Persatuan-persatuan NGO.
Pandangan peribadi pemilik blog boleh berubah dari masa ke semasa seiring meningkat dan bertambahnya ilmu.
Sebarang bentuk peniruan (copy and paste) dalam apa jua bentuk daripada blog ini adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Terima kasih.