Jumaat, 27 Ogos 2021

Apakah Kit (peralatan) penting untuk 'Homebaker' memulakan perniagaan bakeri dari rumah?

Photo by Taryn Elliott from Pexels

        Kebanyakan home baker yang baru berjinak-jinak memulakan perniagaan dari rumah sangat teruja apabila masuk ke kedai alat-alat dan bahan bakeri. Bermula dari acuan kek, hingga kepada senduk semua ingin dibelinya. Apabila sudah berhabis wang ringgit dengan penuh semangat mengambil tempahan pelanggan, akhir sekali peralatan yang tidak penting dan bahan yang tidak diperlukan dibiarkan tamat tempoh atau berkarat dengan sendiri. Sebagai contoh anda ingin menjual cupcake, semua jenis dan saiz cup anda beli dan tidak habis diguna lepas bertahun-tahun. Tips pertama sebelum anda ingin membeli alatan dan bahan adalah pastikan resepi dan senaraikan terlebih dahulu. Tanpa resepi kebarangkalian anda untuk membeli bahan mentah yang tidak perlu sangat tinggi. Begitu juga tanpa senarai, anda akan kerugian jika membeli melebihi keperluan. Terdapat beberapa peralatan penting untuk home baker sebagai permulaan untuk menjalan bisnes ini dari rumah. Walaupun sesetengah peralatan ini agak mahal, tetapi ianya boleh digunakan dalam jangka waktu yang lama.

Ruangan homebaking saya. Kecil dan sederhana, cukup untuk proses membuat tempahan kek.

Senarai peralatan penting home baker

Berikut adalah senarai peralatan penting untuk anda;

  1. Ketuhar pembakar. Ianya merupakan alat terpenting untuk menghasilkan kek. Jika anda suka kek yang dikukus, cukup hanya dengan pengukus tetapi kebanyakan resepi kek memerlukan anda untuk bakar. Kek yang dibakar juga lebih tahan lama kerana lembapan yang lebih rendah berbanding kek kukus melambatkan pertumbuhan kulat. Sebagai permulaan, tidak perlu ketuhar berjenama atau pun yang terlalu besar asalkan acuan bersaiz maksimum 10 inci boleh muat dalam ketuhar tersebut. Harga ketuhar pembakar paling murah di pasaran serendah RM200 sahaja.
  2. Acuan kek. Pelbagai bentuk dan jenis acuan boleh didapati di pasaran. Sebagai contoh, saiz biasa bagi brownies adalah 7 atau 9 inci. Pilih hanya salah satu saiz untuk setiap acuan kek dan dua unit minimum. Apabila permintaan meningkat dan bertambah menu hasil bakeri anda boleh membeli saiz acuan yang lain. Tidak perlu memborong berjenis-jenis acuan sewaktu musim promosi kerana promosi tersebut akan dijalankan lagi pada masa hadapan.
  3. Mixer atau Pemukul kek (whisk). Pemukul kek penting untuk memastikan adunan kek kita dapat memerangkap udara dan kembang apabila di bakar. Bagi anda yang mempunyai bajet yang lebih besar, mixer boleh menjadi pelaburan yang berbaloi untuk mempercepatkan proses adunan kek. Namun, ada juga sesetengah kek yang tidak memerlukan mixer cukup dikacau sebati sahaja seperti congo bars dan brownies.
    Photo by david yohanes from Pexels

  4. Mangkuk adunan. Mangkuk adunan boleh dibeli di kebanyakan kedai peralatan dapur dengan pelbagai saiz. Sebaiknya belilah mangkuk adunan stainless steel atau aluminium kerana lebih tahan lama, tahan panas, tidak mudah pecah dan mudah dicuci berbanding mangkuk plastik atau kaca.
  5. Spatula. Alat ini sangat membantu ketika langkah balik kaup kek diguna. Pastikan materialnya berasal dari silikon kerana ianya tahan panas dan mengacau adunan dengan lebih efektif.
  6. Sudu penyukat. Sudu penyukat diguna pakai ketika proses menyukat bahan-bahan mentah dalam kuantit yang sedikit. Sukatan juga lebih tepat dan boleh mengelakkan kuantiti bahan mentah berlebihan.
  7. Jag penyukat. Ianya digunakan untuk menyukat bahan berbentuk cecair seperti minyak dan susu. Pastikan nilai dalam cawan dan mililiter ditulis pada jag penyukat mengikut nilai tukaran yang diguna.
  8. Cawan penyukat. Cawan penyukat terbahagi kepada beberapa saiz yang lebih tepat dan boleh diguna untuk sukatan bahan kering mahupun basah.
  9. Pengayak. Pengayak diguna untuk mengasingkan bendasign atau partikel kasar dari tepung, gula aising mahupun serbuk koko. Dengan pengayak, kek yang terhasil akan lebih cantik dan adunan tidak berketul-ketul.
  10. Penimbang. Sesetengah resepi menggunakan tukaran berat dalam resepi berbanding sukatan cawan. Ianya lebih tepat dan hasil bakeri kita juga akan lebih menjadi kerana berat bagi tepung dan minyak adalah berbeza dalam gram walaupun sukatan cawan menunjukkan kuantiti yang sama.
  11. Pisau pemotong. Pisau pemotong kek sedikit berbeza dengan pisau daging. Saiznya lebih panjang dan tidak terlalu tajam.
  12. Icing spreader spatula. Bagi home baker yang mengambil tempahan kek kahwin atau kek untuk majlis, icing spatula sangat penting untuk memastikan permukaan kek lebih cantik dan kemas
  13. Cake scrapper. Cake scrapper juga fungsinya sama seperti icing spreader spatula tetapi ianya digunakan pada langkah terakhir ketika melepa kek. Ia juga digunakan sebagai pemotong doh seperti roti.
  14. Pembaris pemotong. Untuk memastikan saiz potongan brownies atau kek bersegi adalah seragam, pembaris boleh digunakan untuk mengelakkan kesilapan memotong.
  15. Oven glove. Fungsinya sebagai penebat haba.
  16. Turning table. Ia juga dipanggil alas untuk memudahkan kek dilepa. Alas ini boleh diputarkan dan memberikan hasil krim kek yang kemas dan artistik.

Photo by Monserrat Soldú from Pexels

Senarai dibawah pula merupakan pilihan anda untuk beli atau tidak tetapi ianya amat membantu memudahkan kerja anda sehari-hari;

  1. Kertas pembakar (baking paper). Baking paper digunakan untuk mengelakkan adunan kek melekat pada acuan membuatkan kek melekat dipermukaan. Walaupun sesetengah orang hanya melenser acuan dengan mentega atau menyembur minyak untuk elakkan aduanan melekat, penggunaan kertas pembakar ini memudahkan proses membersih dan amat mudah mengeluarkan kek dari acuan.
  2. Piping bag atau pastry bag terdiri daripada plastik, kertas mahupun kain ini banyak digunakan semasa dekorasi kek. Ianya juga digunakan untuk membentuk biskut atau cream puff yang adunannya tidak boleh dicanai.
  3. Rolling pin atau kayu pencanai. Alat ini penting ketika membuat hasil pastri atau roti yang perlu dicanai. Jika anda membuat Russian Cake, rolling pin ini penting ketika mencanai.
  4. Piping tips. Bagi anda yang minat menghias kek atau mengambil tempahan kek kahwin boleh memaksimumkan penggunaan piping tips untuk membuat bunga atau apa sahaja bentuk mengikut kreativiti anda. Setiap piping tips mempunyai kod yang tersendiri. Sebelum membelinya, anda boleh meminta carta piping tips untuk melihat bentuk yang dihasilkan daripada penjual.
  5. Termometer. Untuk menghasilkan gula-gula kristal atau karamel, penggunaan termometer sangat penting. Ia juga diguna untuk mencairkan coklat bagi pembuat coklat homemade untuk menjaga partikel coklat daripada rosak apabila suhu terlalu tinggi. Bergantung kepada keperluan home baker, beli sekiranya perlu.
  6. Berus pastri (berus telur). Biasa diguna untuk memberikan hasil berkilat pada biskut dan roti selain digunakan untuk membasahkan kek sebelum dilepa dengan krim topping.
  7. Cake Tester (Lidi). Boleh juga menggunakan pencungkil gigi yang mudah dipakai buang. Tetapi cake tester yang zero waste dan tahan lama amat digalakkan.
  8. Pemisah telur. Untuk membuat swiss meringue buttercream mahupun pavlova yang menggunakan putih telur, pemisah telur ini sangat penting kerana sesetengah telur mempunyai lapisan kuning telur yang sensitif dan mudah pecah.
  9. Pemotong kek berlapis (cake leveler). Cake leveler ini bukanlah satu keperluan kerana anda boleh memotongnya menggunakan pisau pemotong sahaja. Namun, jika anda mempunyai lebihan modal boleh menggunakan cake leveler untuk memberikan lapisan kek ketebalan yang seragam.
  10. Aiskrim scoop. Bukan hanya digunakan untuk aiskrim tetapi juga adunan kek cawan supaya adunan dibahagi sama rata. Selain itu, scoop juga digunakan untuk adunan soft cookies memberikan bentuk yang sama besar.
  11. Semburan minyak (oil spray). Semburan minyak ini memudahkan anda untuk menyembur permukaan acuan kek supaya tidak melekat tanpa perlu melumur tangan dengan margerin untuk melenser.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas ulasan/komen. Tunggu saya balas sebarang pertanyaan ya.

Penafian:
Sebarang artikel, perkongsian atau gambar dalam blog ini adalah hak milik tangangebu27 melainkan dinyatakan sumbernya. Semua pendirian serta perkongsian dalam semua post adalah menurut fahaman atau pandangan peribadi penulis blog shaja dan ia tidak mewakili mana-mana pihak baik Kerajaan, Swasta mahupun Persatuan-persatuan NGO.
Pandangan peribadi pemilik blog boleh berubah dari masa ke semasa seiring meningkat dan bertambahnya ilmu.
Sebarang bentuk peniruan (copy and paste) dalam apa jua bentuk daripada blog ini adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Terima kasih.