Kisah ini terjadi lebih 12 tahun yang lalu ketika aku belajar di Tingkatan 5. Guru di sekolah aku pada ketika itu mengajak aku untuk mendapatkan Rawatan Islam kerana aku mengalami gangguan yang mempengaruhi emosi dan kosentrasi ketika belajar. Oleh kerana pada tahun itu aku akan menduduki peperiksaan SPM, Ustazah Aminah (bukan nama sebenar) menjemput aku untuk ke tempat Perawat Islam yang terkenal kerana beliau merupakan anak murid arwah Ustaz Haron Din. Selepas dapat kelulusan daripada Umi, aku pun pergilah ke Balai Islam Lundang bersama Ustazah dengan beberapa orang pelajar yang turut ingin mendapatkan rawatan tersebut. Peristiwa aneh dan menyeramkan ini bukan berlaku pada aku tetapi ianya berlaku pada salah seorang pesakit yang turut sama-sama hadir pada ketika itu.
Photo by Khoa Võ from Pexels |
Sesampai saja kami lebih kurang jam 10.00 pagi, pesakit-pesakit yang ingin mendapatkan rawatan mesti daftar kehadiran di meja pendaftaran dan masuk ke bilik rawatan. Kumpulan Perawat Islam ini mengumpulkan kami dalam sebuah bilik bersaiz separuh bilik darjah. Pada waktu itu, peserta lebih kurang seramai 15-20 orang termasuk seorang kanak-kanak. Pesakit-pesakit tidak diasingkan jantina kerana rawatan tersebut akan dibuat secara berperingkat tetapi kami tidak bersentuhan. Kami diarahkan untuk duduk berlunjur dengan menghadap antara satu sama lain dan membentuk saf. Seorang perawat islam mula membaca bacaan ayat suci Al-Quran dimulakan dengan surah Al-Fatihah, Ayatul Qursi dan ayat-ayat manzil.
Beberapa orang dalam bilik tersebut mula menunjukkan keadaan tidak selesa, tidak kurang pula ada yang mula muntah-muntah dan batuk. Aku pula masih rasa seperti biasa cuma sedikit gementar kerana suasana yang asing dan pertama kali pergi berubat. Dua orang perawat yang lain mengedarkan plastik kepada pesakit yang muntah termasuklah seorang kanak-kanak tadi. Bacaan-bacaan dari Al-Mathurat masih diteruskan dan dilaung dengan lebih kuat. Seorang pesakit wanita yang usianya dianggarkan 20an tahun tiba-tiba menjerit dan pengsan. Perawat islam wanita memapah keluar pesakit tersebut dengan memakai sarung tangan dan dibawa ke bilik yang lain.
Selepas lebih kurang 15 minit, seorang mak cik yang aku rasa usianya sekitar 50an mula menjerit, dan menyebut "Panas! Panas! Panas!" diselang-selikan dengan tangisan dan rayuan supaya berhenti. Mula-mula mak cik tu bercakap perlahan, tapi lama kelamaan suaranya makin kuat dan jelas. Aku pula alhamdulillah masih tidak merasa apa-apa perubahan cuma rasa sakit mencucuk seperti jarum di bahagian bahu dan hujung ibu jari kaki, namun masih sedar dengan situasi sekeliling. Selesai setengah jam bacaan rukyah, perawat mendatangi setiap seorang pesakit dengan memegang beberapa bahagian tubuh pesakit untuk mengetahui masalah dan punca gangguan. Tafsiran aku, kesakitan pada bahagian tubuh atau merasa panas itu kerana makhluk jin telah mengganggu dengan tinggal pada bahagian tubuh tersebut. Boleh jadi kerana kesakitan jin yang menghuni telah merasa sakit dari bacaan rukyah oleh perawat tadi.
Ceritanya bila semua pesakit dah di 'scan' oleh perawat tadi, satu-persatu keluar dari bilik rawatan untuk ke bilik sebelah dan dapatkan air yang sudah dirukyah untuk diminum atau mandi. Mak cik tadi masih lagi menjerit-jerit seperti sedang disiksa (Aku namakan makcik ni Timah). Mujurlah mak cik Timah hanya meraung tanpa membahayakan orang-orang yang ada di situ. Sampailah giliran mak cik Timah. Sebelum perawat sempat menyentuh dia dah menggenggam tangan dan menarik-narik tudung seolah-olah sedang menahan kesakitan dan kepanasan. Mulanya suara mak cik masih lembut dan memang suara asalnya. Kemudian ayat rukyah diteruskan bacaannya dengan lebih keras sambil dipegang hujung ibu jari kaki. Lalu mak cik Timah dengan kuat menjerit ditambah suara garau dan menggelupur.
Perawat bertanya, "Siapa nama kau?! Apa kau buat dalam badan dia?!" Mak Cik Timah pada mulanya menggeleng-gelengkan kepala tanda protes takkan menjawab soalan perawat. Jelingan tajam dilirik dengan mata merah dilempar pada Ustaz tersebut. Ustaz memberi amaran bahawa dia (jin yang menghuni tubuh mak cik Timah) akan dibakar tanpa sempat dia bertaubat kalau tak nak beri kerjasama. Beberapa kali diberi amaran, barulah jin tersebut menjawab pertanyaan perawat. "Apa kau nak dengan hamba Allah ini?!" Mak cik Timah menjawab dengan suara kasar dan garau, "Aku nak kedai! Aku nak kedai! Bagi kedai tu pada aku!!!" Perawat bertanya lagi, kedai apa dan di mana lokasi kedai tersebut. Satu persatu di jawab. "Siapa nama kau?" tanya Ustaz. " Khalid bin Rohim," jawab jin yang sedang menguasai tubuh mak cik Timah.Photo by Nothing Ahead from Pexels
Ustaz mengajak jin tersebut masuk Islam tetapi dia enggan. Pujukan demi pujukan tidak dihiraukan. Ustaz pun memberi arahan supaya dia pulang kepada tuannya dan tidak mengganggu lagi mak cik Timah dan sekiranya dia tidak mahu, jalan terakhir adalah dia akan dibakar. Jin tersebut ketakutan, akhirnya keluar selepas berjanji untuk pulang kepada tuannya. Setelah itu, mak cik Timah pengsan dan sedar selepas beberapa minit. Ustaz pun bertanya, tentang kedai yang disebut jin tersebut dan memberitahu nama diberi oleh jin tadi. Untuk pengetahun anda, apabila sihir dihantar pada seseorang dan penerima yang menerima sihir tersebut dirawat, jin akan menyebut nama orang yang menghantar jin tersebut kerana dia akan memakai nama pemiliknya.
Rupanya nama jin itu adalah nama adik kandung mak cik Timah. Mak cik Timah telah menerima sebuah kedai milik arwah ayah mereka dan adiknya telah pun mendapat bahagian harta yang lain termasuk sebuah rumah. Barulah mak cik Timah tahu bahawa adik kandungya sendiri yang menyihir beliau. Sedih tak terperi, menangis teresak-esak mak cik Timah kerana sudah lama beliau merasa kesakitan akibat dari sihir tersebut. Telah banyak kos rawatan hospital dihabiskan tetapi Doktor tidak dapat mendiagnosis masalah penyakit mak cik Timah. Adik beliau sebenarnya sudah bersetuju dengan pembahagian harta dan disepakati semua pihak. Kedai tersebut digunakan mak cik Timah untuk berbisnes dan makin hari, makin maju dan laris jualan beliau. Tidak disangka adik yang paling rapat dengannya begitu hasad apabila melihat keuntungan yang dia dapat daripada jualan di rumah kedai tersebut. "Jujur mak cik cakap kalau dia nak rumah kedai tu, mak cik boleh bagi. Ambillah kedai tu sebab memang mak cik tak kisah hal harta dengan adik beradik," terang mak cik Timah sambil teresak-esak mengelap air matanya.
Duit dan harta, kalau jadi timbangan untuk punca kebahagiaan memang kita akhirnya menjadi hamba kepada harta. Perasaan hasad dengki kalau pun tidak boleh dielakkan, kawallah diri daripada dikuasai perasaan syaitan dan nafsu. Jangan sehingga berlaku syirik kepada Allah, kerana dosa besar kita mempercayai kuasa selain kuasa Allah. Semoga kita dan keturunan anak cucu kita dilindungi daripada berbuat dosa mensyirikkan Allah.
Segmen kisah seram ini dibuat sebagai bacaan ringan untuk pembaca blog tangangebu. Kisah yang dikongsikan adalah pengalaman saya sendiri tetapi saya akan mengubah nama-nama yang disebut dalam kisah ini untuk melindungi identiti sebenar mangsa. Sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas ulasan/komen. Tunggu saya balas sebarang pertanyaan ya.
Penafian:
Sebarang artikel, perkongsian atau gambar dalam blog ini adalah hak milik tangangebu27 melainkan dinyatakan sumbernya. Semua pendirian serta perkongsian dalam semua post adalah menurut fahaman atau pandangan peribadi penulis blog shaja dan ia tidak mewakili mana-mana pihak baik Kerajaan, Swasta mahupun Persatuan-persatuan NGO.
Pandangan peribadi pemilik blog boleh berubah dari masa ke semasa seiring meningkat dan bertambahnya ilmu.
Sebarang bentuk peniruan (copy and paste) dalam apa jua bentuk daripada blog ini adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Terima kasih.